Aiskrim Kifayah dijamin halal
NORAWAZNI YUSOF
1 MEI 2016
WALAUPUN hanya memiliki Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), bapa lima anak yang bertubuh kecil dan berkulit hitam manis ini
memiliki cita-cita tinggi dan luar biasa.
Demi memastikan hasratnya
itu tercapai, Mohd Hisham Zamri pernah berhijrah ke negara Kemboja dan Thailand
dalam mempelajari teknik dan proses pembuatan aiskrim dengan guru berbeza di
setiap negara tersebut, seterusnya mengasah bakat dengan seorang chef terkemuka
di negara ini.
Berbekalkan kemahiran
dipelajari itu, Mohd Hisham yang lebih mesra disapa Sifu Sham menubuhkan
syarikat Kifayah Global Resources dengan modal RM600 bagi membeli kelengkapan
membuat aiskrim.
Katanya, idea tercetus
setelah melihat tiada aiskrim yang dijamin halal dihasilkan oleh orang Islam
menyebabkan dia mencari inisiatif mencipta dan menghasilkan produk diyakini
masyarakat di negara ini.
Malah, tiadanya orang
Melayu dan Islam menerokai bidang pembuatan itu membuatkan Sifu Sham
nekad mencuba nasib dengan membabitkan diri dalam perniagaan tersebut.
“Pada waktu itu, saya
lihat semakin ramai peniaga dari Kemboja yang datang ke negara kita memulakan
perniagaan sebagai penjual aiskrim, sama ada buatan sendiri atau sebaliknya
dengan pendapatan seharian yang agak lumayan.
“Disebabkan itu saya
membina keyakinan dan kepercayaan diri untuk melakukan hal yang sama seperti
para peniaga Kemboja tersebut dengan melakukan sedikit inovasi dan
penambahbaikan.
“Bermula dari situlah,
saya mula membuat kajian dan pencarian maklumat mengenai resipi dan cara
pembuatan aiskrim dan alhamdulillah kini ternyata usaha saya selama empat tahun
berjaya, maka terhasillah Aiskrim Kifayah,” katanya.
Mengambil keputusan untuk
terus menceburi bidang tersebut, beliau terus memasarkan produk aiskrim
buatannya secara kecil-kecilan dengan menjual aiskrim pelbagai perisa iaitu
coklat, strawberi, vanila, yogurt dan sebagainya.
Aiskrim buatannya
semakin digemari ramai dan kini Sifu Sham menghasilkan jenama
Aiskrim Minda Genius30+ di seluruh negara.
“Setiap aiskrim yang
dihasilkan mengandungi makanan sunnah seperti badam, kurma, buah tin, air
zam-zam, kismis dan zafaron, sekali gus memberi kelainan dari segi
rasanya.
Selain itu, beliau
beberapa kali telah membuat R&D dalam proses menghasilkan resipi aiskrim
yang lebih mantap sehingga beliau kini berjaya menjadi tenaga pengajar dalam
program dijalankannya iaitu program Keusahawanan Mentor Mentee.
Ubah nasib keluarga
Sifu Sham dahulunya
merupakan seorang juruteknik dan pernah menghadapi kesusahan di dalam kehidupan
sehariannya.
“Selama tiga tahun saya
dan keluarga hidup berjimat cermat dan berbekalkan gaji RM1,100 sebulan,
itulah kami guna untuk beli keperluan harian dan bayar utiliti bulanan.
“Dek kerana kesusahan
hidup ketika itu jugalah saya nekad untuk mengubah kehidupan keluarga dengan
membuat perancangan untuk berniaga, “katanya.
Kini, Sifu Sham mampu
menarik nafas lega, setelah melibatkan diri dalam dunia perniagaan,
kehidupannya mula berubah dan lebih bermakna.
Jelasnya, bila sudah
mengusahakan perniagaan sendiri, masa lapang yang diluangkan bersama keluarga
lebih banyak berbanding sebelum ini.
Lahir lebih 300 usahawan
Tidak loket ilmu
dipelajari, Sifu Sham berkongsi asas kemahiran pembuatan aiskrim dengan
masyarakat di luar yang mahu menjadi usahawan berjaya dalam pembuatan aiskrim.
Katanya, sikap berkongsi
kemahiran menyebabkan perniagaannya itu semakin berkembang, malah rata-rata
usahawan yang mengikuti kursusnya secara keseluruhannya berjaya dan mampu
menjana pendapatan lumayan.
“Saya juga beri kursus
dan latihan selama sehari mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan
perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi serta
mesin pembuatan aiskrim.
“Kursus siri lanjutan
pula saya dedahkan bagaimana usahawan itu mengembangkan perniagaan aiskrim
mereka,” katanya.
Selain latihan, syarikat
juga menyediakan, mesin aiskrim, peti beku (freezer), loceng aiskrim, baju T,
topi, apron, serta bahan mentah.
Katanya, setiap
peserta kursus dipantau dari semasa ke semasa demi memastikan mereka berjaya.
Dalam perkembangan sama,
Sifu Sham memaklumkan syarikatnya kini bekerjasama dengan Universiti Pahang
Malaysia (UMP) untuk menginovasi mesin aiskrim dan kini di peringkat
perbincangan.
Bagi meyakinkan lagi
masyarakat, Kifayah Global Resources turut menjalinkan kerjasama dengan UMP
bagi menghasilkan inovasi dan R&D terhadap mesin dan produk aiskrim.
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
Majlis Perkahwinan Nur Syafika Adila & Ahmad Amzar
No comments:
Post a Comment